Sabtu, 7 Januari 2012

Bulan Itu Aku..

        Angin malam berhembus lembut ke wajahku. Aku merenung langit yang dipenuhi bintang-bintang yang berkelipan. Sungguh indahnya malam itu. Aku mencari wajahnya bulan tetapi tidak ku temui. ‘Dimana kamu wahai sang bulan?’ tetapi hanya deru angin yang dapat ku dengari. Dalam kesamaran, aku terlihat wajahnya bulan berselindung disebalik awan. Sungguh cantik jika dilihat pada zahirnya tetapi sebenarnya keruh didalamannya. Itulah diriku sebenarnya.


  Hidup ini penuh dengan dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh setiap insan di dunia ini. Seperti juga hidup yang aku tempuhi sekarang, pennuh dengan ranjau duka yang datang silih berganti. Tetapi, aku tahu, sememangnya dugaan itu datangnya dari Tuhan Yang Maha Esa.

    Deruman enjin kereta menggema mengayak sepi malam berarak pergi dari pandangan mata. Aku  cepat- cepat menutup jendela kamarku ku Dan bergegas menuju ke pintu utama untuk menyambut kepulangnya ‘dia’. Ya, ‘dia’ yang sebelum ini aku sanjung tinggi pada pandangan mata tetapi kini telah berubah sedikit demi sedikit. Hanya kerana sibuk mengejar kemewahan dan keseronokkan dunia, aku ditinggalkan kesorangan bagaikan layang-layang terputus talinya. Tapi, kerna tanggungjawab terhadap dirinya, aku gagahi jua. Pernah jaga aku meminta untuk pergi dari hidupnya tetapi aku dipukul bagaikan binatang. Setelah aku tahu dirinya telah berkahwin lain, aku menerimanya dengan redha walaupun hakikat itu merobak-rabikkan hatiku.

        Dugaan datang menimpaku lagi apabila aku diberi tahu bahawa isteri barunya itu telah mengandung. Pada masa itu, hanya Tuhan saaja yang tahu betapa hancurnya hatiku. Bagaikan berjuta sembilu menusuk hatiku ini. Aku cuba bertanya padanya apakah yang aku dengar itu adalah kenyataan atau pun hanya ilusi yang sengaja menduga hati ku, tetapi apa yang aku dapat hanyalah tamparan perit menghinggap di pipiku. Aku hanya terpunduk hiba apabila diperlakukan seperti itu. Aku tidak ubah seperti binatang pada pandangan matanya.

           Sejak dari itu, ‘dia’ telah membawa isteri barunya masuk ke rumah kami. Walaupun pada awalnya aku tidak dapat menerima keputusannya itu, tetapi aku relakan juga hatiku ini. Aku melayan isteri barunya itu dengan baik walaupun aku sering diherdik oleh ‘dia’. Aku melakukan semua kerja rumah walaupun dalam keadaan keterpaksaan. Aku gagahi juga diriku ini untuk menghadapi dugaan-NYA. Dalam kesamaran pemikiran yang kusut, aku mencari kesalahan diriku sendiri. Di mana kesilapan ku sehingga ‘dia’ sanggup memperlakukan diriku seperti itu. Tetapi, jawapannya masih belum terungkai dalam benak pemikiran.

               Walaupun hanya tinggal bertiga di dalam rumah besar yang dulu pernah menjadi syurga ku dulu, kerja rumah semua dilakukan oleh ku. Pernah juga isteri barunya itu cuba untuk menolong aku membuat kerja rumah tetapi apabila ‘dia’ mendapat tahu akan hal itu, hampir separuh nyawa aku dikerjakan. Dia mengatakan aku menyuruh isteri barunya itu membuat kerja rumah walhal isterinya itu yang merelakan diri untuk menolong diriku. Puas dirayu dirinya oleh isteri barunya itu agar aku tidak terus dipukul dan barulah saat itu ‘dia’ berhenti. Itu pun masih lagi ‘dia’ menggertak diriku agar tidak mempergunakan isterinya lagi untuk membuat kerja rumah. Sejak dari itu, isterinya itu tidak lagi menolong diriku membuat kerja rumah. Aku tahu, bukan kemahuannya dia untuk tidak mahu menolong diriku membuat kerja rumah tetapi dia tidak mahu aku dipukul lagi. Sungguh mulia hati seorang wanita yang sanggup menolong diriku ini.

            Setiap malam aku menghambakan diriku kepada ALLAH-penguasa alam ini. Walaupun luaran ku nampak seperti tiada ada apa-apa yang berlaku, tetapi dalaman ku penuh dengan kesakitan yang amat sangat. Benarlah kata kawan baik ku suatu ketika dulu. “Kau ni seorang yang kuat. Aku sangat kagum dengan kau. Pada pandangan luar, kau sangat cantik tapi hakikatnya dalaman kau, hati kau penuh denagn kelukaan, diri kau macam bulan Nur.” Itulah kata-kata terakhirnya sebelum dirinya pergi meninggalkan diriku seorang diri.

         Walaupun diriku ini sedih atas kehilangannya, Tetapi aku tabahkan juga hati ini untuk menghadapi hari-hari yang bakal mendatang. Alhamdulillah, kini, walaupun dirinya tiada di sisi untuk sama-sama berkongsi apa yang sedang aku rasai sekarang ini, aku masih mampu bjuertahan. Bertahan utuk maneruskan hidup yang penuh sengsara ini. Aku juga mengerti semua ini dugaan Tuhan untuk ku. Dugaan yang membuat aku tabah untuk meneruskan hidup. Dugaan yang Tuhan sengaja beri untuk menghapus dosa-dosa ku barangkali.

          Cerita sedih aku tak berakhir hanya disitu saja. Pernah suatu ketika aku memasak kangkung goreng berlada untuk ‘dia’, tanpa ku sedari, aku masukkan terlebih garam ke dalam kuah sayur itu. Apabila sudu yang penuh dengan kuah sayur itu sampai saja di bibirnya, disemburkan semula kuah itu ke muka ku. Dengan perasaan marah, ‘dia’ menghentak meja makan dan terus memarahi ku. Aku cuba menayakan apa yang kurang dalam kuah sayur itu. Lalu dengan tidak semena-mena, wajah ku terus dicelupkan ke dalam kuah sayur itu. Dan saat itulah aku menyedari bahawa kuah sayur itu masin. Aku hampir saja dipukul olehnya menggunakan tali pinggang yang tersisip rapi di pinggangnya, tetapi Tuhan itu Maha Melindungi. Tubuh ku dihalang oleh tubuh isteri barunya itu.

       ‘Dia’ dengan tidak sengaja telah memukul tubuh isteri barunya itu. Wanita itu menjerit kesakitan. Aku hanya mampu menyambut tubuh isterinya itu dengan sedaya-upaya. ‘Dia’ dengan segera menerpa ke arah isterinya itu. Menepis tangan ku yang dianggap terlalu kotor untuk memegang isterinya itu. ‘Dia’ dengan segera menggapai tangan wanita itu sambil mencium dengan penuk kasih sayang. Sedangkan diri ku ini jarang sungguh diperlakukan sebegitu.

       Aku hanya bisa menangis dalam hati. Mengenangkan nasib diri yang sentiasa ditimpa ujian ILAHI. Apakah masih ada sinar kebahagian untuk diriku ini? Pertanyaan itu sering saja aku ajukan di dalam hati. Hari-hari yang aku lalui tidak seindah hari yang dilalui oleh wanita lain di luar sana. ‘Ya Tuhan, bukakanlah hati lelaki itu untuk menerima diriku semula.” Hanya itu doaku.

 Harus bagaimana aku mahu mengubah dirinya pun aku tidak tahu. Biarlah Tuhan saja yang menentukannya.

              Hari-hari yang aku jalani sama sahaja seperti hari-hari lalu yang pernah aku lalui. ‘Dia’ hanya tahu mencari kesalahan diriku walau kesalahan itu sebesar zarah. Walaupun aku tahu ‘dia’ tidak menginginkan aku lagi disitu, tetapi aku masih bertahan di rumah itu untuk
menyelamatkan sebuah hubungan suci. Tetapi masih adakah ruang untukku terus bernafas disitu? Entah, hanya tuhan yang dapat menjawab persoalan itu.
Suatu hari, entah dimana kekuatan itu timbul dalam diriku untuk meminta aku dilepaskan daripada perangkap hidup yang sudah lama memerangkap diri ini. Aku ingin menjadi burung yang bebas, terbang tinggi tanpa ada yang menghalang diri ini. Aku mendatangi dirinya yang ketika itu sedang bersantai diluar rumah bersama isteri barunya itu

“Abang, saya nak minta izin abang untuk lepaskan saya dari hidup abang”.

“Tak boleh!”

“Aku takkan lepaskan kau senang-senang macam tu je!”.

“Abang, lepaskan je lah akak. Saya pun dah tak tahan tengok abang buat akak macam orang gaji!”

“Kenapa sayang nak sangat bela perempuan tak guna ni?! Dia ni dah bunuh anak abang tau tak! Dia bodoh! Tak tahu macam mana nak jaga kandungan dia.!”

         Aku hanya menundukkan wajah apabila suamiku itu mengungkitkan perkara lalu. Ya, memang benar aku pernah keguguran suatu ketika dulu. Tapi, itu bukannya kesalahan diriku. Aku keguguran kerana berlaku komplikasi ketika kandungan berada dalam bulan ke 7. Aku terjatuh dan perutku terhantuk pada bucu meja makan ketika aku sedang mengemas meja makan.

       Bukan kesalahan aku perkara itu terjadi. Mungkin Tuhan ingin menguji kami berdua ketika itu. Sejak daripada itu, aku dipinggirkan oleh dirinya. Aku seperti dibuang terus dari hidupnya. Aku juga disahkan tidak boleh mengandung lagi kerana rahimku rosak teruk dalam kemalangan kecil yang berlaku ketika itu. Sejak daripada itu, diriku ini tidak lagi pernah disentuh olehnya.
Betapa hancurnya hatiku pabila dia memperlakukan diriku seperti itu. Seperti patung yang tidak bernyawa pada dirinya.

        “Kalau betul itu yang kau nak, aku boleh bagi tapi jangan kau datang lagi dalam hidup aku. Faham?!”
Aku cuma menundukkan wajahku ke lantai. Ada mutiara jernih yang tumpah dan jatuh menimpa kakiku. Dan pada saat itu juga diriku ini dilepaskan. Dia telah melafazkan talak kepadaku bersaksikan isteri barunya itu.


  Kini aku baru sahaja selesai kes penceraianku di mahkamah. Sepanjang tempoh edah, aku sentiasa memikirkan apa yang bakal aku lakukan  untuk menyara hidupku selapas ini. Tetapi, apa yang berlaku pada diriku sekarang adalah yang terbaik untuk diriku. Benarlah kata teman lamaku itu. Diriku diibarat bulan; cantik hanya diluar tetapi didalamnya penuh dengan seribu  satu kelukaan yang amat memedihkan. Mungkin ada sinar baru yang menunggu hidupku pada masa hadapan. Aku hanya berserah pada Yang ESA tentang hidupku. Kini, aku menyara hidupku dengan menjual nasi lemak dihadapan rumah sewaku. Walaupun aku baru sahaja tinggal disitu, penduduk sekitar ternyata begitu peramah terhadap diriku ini. Mereka sering berkunjung ke rumah untuk bertanyakan khabar tentang diriku ini. Kadang-kala, aku merasa diriku ini sangat dihargai walaupun bukan dengan ahli keluargaku sendiri. Sesungguhnya hidup ini hanya sebuah persinggahan sementara untuk mengumpul amalan dan mencipta memori yang indah. Alam yang kekal abadi tetap sedia menanti. Aku tahu, jodohku ada diluar sana. Bukan bersama Hisyam-bekas suamiku itu- tetapi bersama lelaki lain yang bisa menjagai diriku ini dengan lebih baik. Cuma belum kutemukan. Semoga Tuhan menemukan aku dengan jodoh yang sememangnya telah ditentukan oleh-Nya.

     “Amin Ya Allah. Aku bersyukur padamu atas kehidupan yang telah Kau berikan kepadaku ini Ya Rabb. Jika tertulis jodohku bersama dengan lelaki lain, temukan aku dengannya Ya Allah. Sesungguhnya Kau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.” Hanya itu doaku pada Yang Esa.